Ingin tanding tilawah al-Quran
Oleh Mohamad Danial Mohamad Saad
am@hmetro.com.my
SEBAIK berpisah dengan kekasihnya, Ahmad Afif Tirmizie atau Afif, 25, yang juga peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) penyanyi bertudung dan juga bekas pelajar AF4, Salima Habibi, 22, akui lebih matang serta banyak berubah dalam kehidupan harian.
Katanya, selepas masing-masing tidak sehaluan serta dan berpisah cara baik, beliau kini lebih banyak menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti seperti biasa.
“Walaupun melalui detik sukar, nyata ia memberi pengalaman berharga. Kami kini masih berkawan seperti biasa dan rapat dengan keluarga masing-masing cuma percintaan kami lebih dua tahun tidak kekal kerana mungkin tiada jodoh.
“Percintaan kami bermula kerana seni dan minat dalam bidang yang sama, tapi mungkin cinta itu pada usia muda dan tidak dapat pergi lebih jauh.
“Selepas kami dapati tidak serasi, kami ambil keputusan berpisah dan bukan kerana bergaduh. Semuanya sudah takdir dan mungkin bukan jodoh kami,” katanya.
Katanya, peristiwa itu tidak membuatkan dia serik untuk menjalinkan hubungan dengan jejaka lain malah tidak mahu mengambil masa terlalu lama untuk bercinta kembali dengan berserah kepada jodoh untuk menamatkan zaman solonya.
Akuinya, perasaan kecewa tetap timbul apabila hubungan yang diharapkan berkekalan putus di tengah jalan dan ianya terjadi disebabkan takdir.
Katanya, mengakui imejnya sebagai wanita bertudung dipandang serong sesetengah pihak yang melihat gambar bersama bekas kekasih tersebar di blog hiburan.
“Saya kenal wanita yang dikatakan kekasih baru Afif, saya tidak cemburu atau marah kerana itu jodoh mereka. Saya mendoakan kebahagiaan mereka,
“Apa yang terjadi antara kami ada hikmahnya, mungkin Tuhan akan temukan kami dengan pasangan masing-masing yang lebih baik atau terbaik.
“Saya kini lebih tumpukan kepada kerjaya dan kini sedang mengikuti kembali pengajian dan latihan tilawah, Insya- Allah, saya ingin bertanding untuk mewakili Perak ke pertandingan peringkat kebangsaan pada tahun hadapan,” katanya.
Salima kini bernaung di bawah syarikat World Event Management Sdn Bhd (WEM) bersama Lan Kristal, Khai, Rosma, Aliff Razali dan ramai lagi, Syarikat itu kini dalam perancangan untuk menghasilkan lagu raya dan seterusnya lagu single masing-masing.
Katanya, melalui syarikat itu mereka bebas untuk mempelbagaikan bakat yang ada dan pelbagai aktiviti dan perancangan dilakukan hasil perbincangan bersama,
“Saya merancang untuk menghasilkan skrip teater berunsur dakwah kerana itu harapan dan impian saya selama ini,
Anak sulung daripada lima beradik ini juga pernah menjadi pelakon dalam beberapa teater dan menjadi jurucakap produk AC Konsortium Sdn Bh (AC Konsortium) sebelum menarik diri.